Thursday 31 May 2018

10 TIPS UNTUK BERHENTI MEROKOK DI BULAN RAMADHAN

World No Tobacco Day: 31 May 2018




Tinggal beberapa hari sahaja lagi kita akan bertemu dengan bulan Rahmah (kasih sayang) dan Maghrifah (keampunan) bulan Ramadhan. Semoga Allah memberi izin kita dipanjangkan umur untuk bertemu tetamu mulia ini. Menyebut tentang Ramadhan, ia merupakan masa dan peluang yang sangat baik bagi mereka yang mempunyai niat untuk berhenti merokok. Bersempena dengan World No Tobacco Day pada 31 May 2018 juga, artikel ini akan membicarakan mengenai usaha untuk berhenti merokok.
Sebahagian besar masyarakat umum mengetahui bahaya merokok terhadap kesihatan. Begitu juga umum mengetahui tentang fatwa pengharaman merokok. Persoalannya ialah mengapa masih ramai yang meneruskan tabiat merokok? Sebenarnya perokok mampu berhenti merokok. Tak percaya? Tengok saja apabila anda berpuasa, anda boleh sahaja untuk tidak merokok.
Sememangnya tabiat merokok adalah sejenis ketagihan yang sukar diatasi. Ia bukan sahaja ketagihan fizikal malah ia juga melibatkan kebergantungan psikologi. Namun, ketagihan merokok boleh dirawati dengan keinginan dan semangat yang kuat. Untuk pengetahuan anda, semua klinik kesihatan di seluruh Malaysia menawarkan perkhidmatan Klinik Berhenti Merokok. Khidmat nasihat dan ubat-ubatan bagi mengurangkan rasa ketagihan akan diberikan bagi membantu perokok untuk berhenti.
Berikut dikongsikan beberapa tips untuk berhenti merokok:
  1. Tentukan alasan yang kuat untuk anda berhenti
Anda mungkin mempunyai pelbagai alasan untuk berhenti merokok. Seeloknya carilah alasan yang paling kuat mengapa anda perlu berhenti sekarang. Mungkin faktor kesihatan anda yang semakin merosot, atau demi masa depan orang tersayang atau mungkin kerana faktor agama. Alasan yang kuat akan dapat menjadi dorongan dan motivasi untuk anda berhenti.
  1. Tentukan tarikh yang paling bermakna untuk anda berhenti merokok
Pilihlah tarikh atau peristiwa yang bermakna untuk anda berhenti. Contohnya hari lahir anda, hari graduasi anda atau hari anda mendapat cahaya mata. Dalam artikel ini, kita berbicara mengenai bulan Ramadhan. Waktu mengerjakan haji juga adalah sangat sesuai untuk anda berhenti merokok.
  1. Maklumkan hasrat anda kepada yang tersayang dan orang sekeliling.
Sokongan orang yang rapat dengan anda adalah sangat penting ketika proses berhenti merokok. Anda mungkin menghadapi masalah di awal proses berhenti apabila paras nikotin mula menurun di dalam badan. Perasaan gian terhadap rokok boleh menyebabkan anda hilang tumpuan, gelisah dan mudah marah.
  1. Tinggalkan aktiviti dan suasana yang mengingatkan anda kepada rokok
Buang semua rokok dan alatan yang berkaitan dengan rokok seperti pemetik api dan bekas abu rokok. Hindari rakan yang merokok dan aktiviti yang anda sering lakukan sambil merokok.
  1. Teruskan mencuba jangan berputus asa
Berhenti merokok memerlukan azam dan motivasi yang kuat. Jangan berputus asa jika anda gagal kali pertama. Banyakkan berdoa dan berfikiran positif.
  1. Hargai diri anda
Sebagai dorongan untuk terus berusaha anda mungkin ingin menghadiahkan sesuatu kepada diri anda setelah berjaya mengharungi hari-hari yang penuh cabaran. Anda mungkin ingin makan di restoran kegemaran jika berjaya melepasi seminggu tanpa rokok. Tapi awas, jangan sampai meningkatkan berat badan dan mengundang masalah kesihatan yang lain. Anda juga boleh membuat tabung dengan memasukkan sejumlah wang yang biasanya anda gunakan untuk membeli rokok, ini akan dapat memberi kesan langsung penjimatan wang yang boleh anda lihat.
  1. Tangani stress dengan bijak
Jika stress menyebabkan anda merokok maka anda perlu mempelajari cara menangani stress dengan bijak. Kenalpasti apa yang menyebabkan anda stress dan apakah pilihan yang anda ada untuk mengatasi masalah tersebut. Bercakap dan luahkan masalah anda dengan rakan terdekat dan anda percayai.
  1. Sibukkan diri anda dengan aktiviti berfaedah
Apabila datang perasaan ingin merokok; tarik nafas perlahan-lahan, minum air dan lakukan aktiviti yang sihat seperti berbasikal, berjogging dan berkebun.
  1. Muaturun aplikasi Behenti Merokok
Terdapat banyak aplikasi berhenti merokok (quit smoking) yang boleh anda muaturun ke dalam telefon pintar anda. Aplikasi ini boleh membantu anda memantau prestasi anda, memberi tips ketika datang perasaan gian, serta berkongsi dengan perokok lain yang melalui proses yang sama.


Quit Pro – Aplikasi Berhenti Merokok untuk pengguna Iphone. 

  1. Dapatkan bantuan professional
Kunjungi klinik berhenti merokok di mana-mana klinik kesihatan kerajaan di seluruh negara. Anda juga boleh mengunjungi klinik swasta atau farmasi yang menawarkan perkhidmatan berhenti merokok. Khidmat kaunseling dan ubat-ubatan yang bersesuaian akan diberikan kepada anda.
Semoga tips yang dikongsikan dapat membantu anda yang sudah berazam untuk berhenti merokok untuk menjalani ibadah bulan Ramadhan dengan lebih sihat dan produktif. Jangan mudah berputus asa, teruskan perjuangan! Semoga usaha untuk berhenti merokok anda mendapat keberkatan dan dimudahkan oleh Allah SWT.
Ahlan wa sahlan, ya Ramadhan.

Tulisan oleh,
Dr. Zainal Fitri Zakaria
Pakar Perubatan Keluarga
Sharing is caring!

Rujukan:
http://health.ikram.org.my/index.php/2018/05/12/10-tips-untuk-berhenti-merokok-di-bulan-ramadhan/

No comments:

Post a Comment