Sunday 9 October 2016

SELAMAT MENYAMBUT HARI KESIHATAN MENTAL SEDUNIA


Kenyataan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
9 Muharam 1438H bersamaan 10 Oktober 2016
SELAMAT MENYAMBUT HARI KESIHATAN MENTAL SEDUNIA
Ke Arah Negara Rahmah Yang Mesra Kesihatan Mental Rakyat 
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengucapkan selamat menyambut Hari Kesihatan Mental Sedunia (10 Oktober 2016). IKRAM menyokong usaha-usaha semua pihak dalam memberi kesedaran mengenai kepentingan kesihatan mental.
IKRAM percaya kepada pembangunan insan yang menyeluruh merangkumi kesihatan fizikal, kesihatan mental, kesejahteraan sosial dan kesihatan spiritual. Kecelaruan akhlak berlaku apabila pembangunan psikospiritual tidak seimbang dengan pembangunan fizikal dan sosial.
Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 mendapati satu daripada tiga orang rakyat Malaysia mengalami isu berkaitan dengan masalah kesihatan mental. Fenomena ini sangat membimbangkan IKRAM sebagai sebuah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang mempunyai objektif melahirkan psikospiritual rakyat yang positif dari segi tingkah laku, kognisi dan emosi.
IKRAM, sejak awal penubuhannya telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mengintegrasi perspektif kesejahteraan psikospiritual dari segi kognitif, psikomotor dan afektif bukan sahaja dalam program-program usrah dan tarbiah tapi juga dalam program-program kemasyarakatan yang berkaitan kekeluargaan (melalui Jawatankuasa Pemantapan Keluarga Ahli dan wadah PAKSI-IKRAM), remaja (melalui wadah IKRAMTeens dan Raudhatus Sakinah), kanak-kanak (melalui wadah IKRAM Junior), belia (melalui wadah GEMA), undang-undang (melalui Biro Perundangan), khidmat masyarakat (melalui Jawatankuasa Khidmat Masyarakat dan wadah i-Bantu) dan kerja-kerja kemanusiaan (melalui Jawatankuasa Pembelaan Umat Sejagat dan wadah MyCARE).
Malah, sesuai dengan fokus Hari Kesihatan Mental Sedunia tahun 2016 tentang kepentingan pertolongan cemas psikologi atau psychological first aid (PFA), IKRAM turut melatih ahli-ahlinya tentang PFA sebelum dihantar ke misi-misi kebajikan dan kemanusiaan.
Pada bulan Mac 2016, IKRAM telah menubuhkan satu unit yang dikenali sebagai Psikospiritual IKRAM (PSI) bagi mengumpulkan pakar-pakar dan pelatih-pelatih dalam kalangan ahli-ahli IKRAM dalam bidang psikiatri, psikologi, kaunseling, kerja sosial dan pendidikan khas.
Dengan moto 'Profesional, Islamik dan Saintifik', PSI berusaha untuk menjadi unit profesional utama dalam perkembangan holistik insan. Prinsip yang ditekankan ialah ketenangan psikospiritual dalam kehidupan dan peningkatan hubungan profesional antara ahli-ahli profesional psikologi dalam IKRAM dengan ahli-ahli IKRAM dan masyarakat umum.
Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam, kerajaan Malaysia sedang membentuk satu pelan tindakan strategik kesihatan mental kebangsaan untuk tempoh lima tahun akan datang (2016-2020) bagi mengawal peningkatan permasalahan mental dalam masyarakat Malaysia.
Menyokong usaha kerajaan Malaysia ini dan menyedari keperluan memelihara kesihatan mental ahli-ahli IKRAM, IKRAM merancang untuk mewujudkan polisi kesihatan mental pada tahun 2017 yang akan dinamakan sebagai Polisi Kesejahteraan Psikospiritual IKRAM.
Diharapkan polisi ini dapat memberi panduan kepada kepemimpinan, agensi, institusi, naqib-naqib usrah dan ahli-ahli IKRAM seluruhnya tentang tindakan, saluran dan rujukan pakar yang tepat dalam menghadapi isu kesihatan mental dalam kalangan ahli-ahli IKRAM mahupun dalam masyarakat, sama ada melibatkan intervensi di peringkat primer, sekunder mahupun tertier.
Diharapkan juga polisi ini dapat mengurangkan stigma, silap faham dan pandangan serong terhadap penyakit dan pesakit mental seperti tergesa-gesa menganggap penyakit mental berpunca daripada kurang iman hingga pesakit mungkin tidak mendapat rawatan sewajarnya.
Dengan ini, IKRAM ingin mencadangkan supaya semua pihak untuk:
  • Melahirkan lebih ramai golongan profesional dalam bidang psikiatri, psikologi, kaunseling, kerja sosial dan pendidikan khas.
  • Menggalakkan institusi, organisasi dan syarikat untuk membentuk polisi kesihatan mental masing-masing.
  • Memasukkan dalam silibus latihan guru, silibus latihan pekerja, dan silibus tarbiah pendakwah tentang jenis-jenis penyakit mental dan skil pertolongan cemas psikologi atau psychological first aid(PFA).
  • Mewujudkan kesedaran tentang perkhidmatan profesional kesihatan mental yang saintifik dan terlatih yang boleh dirujuk untuk pelaksanaan intervensi primer, sekunder dan tertier.
  • Memperbanyakkan kempen untuk mengurangkan stigma terhadap penyakit dan pesakit mental.
  • Menggabungkan aspek spiritual dalam teori dan intervensi kesihatan mental untuk pencegahan dan rawatan yang lebih holistik.
Semoga usaha-usaha ini akan membantu membina Malaysia sebagai negara rahmah, insya-Allah.

Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

No comments:

Post a Comment